mutakhir

Banjir: Tiga PPS baharu dibuka di Perak

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

HUJAN lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka masing-masing dua di Hilir Perak dan satu di Batang Padang.

Pertambahan itu menjadikan jumlah PPS yang sudah dibuka setakat pagi ini di Perak, sebanyak lima PPS, berbanding dua PPS semalam.

Dua PPS yang baru dibuka di Hilir Perak adalah di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap dan Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Yahya Subban, Teluk Intan.

Di daerah Batang Padang yang menjadi daerah terbaru dilanda banjir pula, PPS dibuka di Dewan Kampung Haji Tahir, Tapah.

Sebelum ini, dua PPS yang sudah dibuka adalah di Hilir Perak iaitu di SK Changkat Jong, Teluk Intan dan di Kerian iaitu di SK Changkat Lobak, Bagan Serai.

Setakat jam 10 pagi hari ini, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke semua PPS di Perak, adalah seramai 374 orang daripada 85 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, tiga pusat pemindahan baru dibuka malam tadi susulan hujan yang menjejaskan beberapa kampung di Hilir Perak dan Batang Padang.

“PPS di daerah Batang Padang dibuka di Dewan Kampung Haji Tahir, Tapah dan seramai 53 orang membabitkan 12 keluarga daripada Kampung Pasir dan Kampung Batu Masjid yang terjejas dipindahkan.

“Dua lagi PPS dibuka di Hilir Perak iaitu di Dewan MPTI Langkap pada 10 malam tadi yang menempatkan 82 mangsa daripada 20 keluarga dari Kampung Attaduri Lama, Kampung Chikus, Kampung Chikus Parit 3, Kilang Kacang dan Sungai Lampam.

“Di PPS SK Dato’ Yahya Subban yang dibuka pada 11.30 malam pula menempatkan penduduk Kampung Parit 5 Pengkalan Ara seramai 16 orang daripada empat keluarga,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurutnya, PPS di SK Changkat Jong, Teluk Intan yang dibuka sejak kelmarin menempatkan seramai 78 orang daripada 16 keluarga.

“PPS di daerah Kerian yang dibuka di SK Changkat Lobak pada 21 Oktober lalu masih menempatkan 145 mangsa daripada 33 keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 10:44am
d