mutakhir

Kenapa nak 'kunci mulut'?

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

LELAKI terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Merabung, Lahad Datu, Khamis lalu, masih enggan ‘membuka mulut’ untuk menceritakan kejadian sebenar.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, setakat ini, pihaknya masih gagal mendapatkan maklumat daripada individu itu.

Katanya, lelaki berusia 29 tahun itu masih dalam tahanan reman 14 hari bagi membantu siasatan insiden berkenaan.

“Lelaki itu masih belum mahu menceritakan kejadian bagaimana bot berkenaan karam sehingga dia ditemui terapung di perairan Lahad Datu.

“Setakat ini, dua mayat masing-masing lelaki dan wanita ditemui, manakala enam lagi masih hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR), memasuki hari kelima, hari ini.

“SAR dimulakan 7 pagi tadi dan operasi pencarian dijalankan di kawasan perairan Alice Reef, Lahad Datu dan perairan Pulau Pom-Pom, Semporna.

“Seramai 12 anggota PPM dikerah menjalankan operasi SAR dengan menggunakan tiga bot ronda,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bot dinaiki sembilan individu termasuk dua kanak-kanak dilaporkan karam di perairan Merabung, dekat Lahad Datu.

Hanya seorang lelaki yang dipercayai juragan bot yang terselamat.

Berita berkaitan

Bot karam: PPM minta bantuan Filipina

[UPDATE] Mayat Pitt dijumpai terapung

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 2:36pm
d