mutakhir

Jurujual kereta dikhuatiri lemas

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

JURUJUAL kereta dikhuatiri lemas dipercayai selepas terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di Sungai Kelantan di Kota Bharu pagi hari ini.

Kejadian pada 10 pagi itu dilihat pengguna laluan berkenaan yang kemudiannya memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Lelaki berusia 42 tahun yang mempunyai dua anak itu dipercayai mengalami kemurungan dan sering mendapatkan rawatan di hospital meninggalkan motosikalnya di atas jambatan berkenaan.

Difahamkan, mangsa keluar dari rumahnya di Kubang Kerian pada 9 pagi sebelum keluarga dimaklumkan kejadian itu.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi JBPM Negeri Kelantan Mohd Farid Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.52 pagi.

Menurutnya, seramai 22 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dan Kota Darulnaim ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan sehingga satu kilometer dari lokasi mangsa jatuh.

“Keadaan arus sungai yang deras dan hujan memberi cabaran kepada operasi, namun kita akan berusaha mencari mangsa sehingga ditemui,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 2:56pm
d