mutakhir

'Tolong doakan Danish segera ditemui'

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

“ADA pihak cuba ambil kesempatan atas kehilangan Danish,” kata bapa tiri kanak-kanak hilang, Isma Wahyuni Zulkifli, 25.

Menurutnya, ada individu menghubunginya dengan mendakwa pernah ternampak kelibat Mohd Danish Supry Anthony, 9, itu di sebuah pasar di Miri, Sarawak dan mengharapkan wang sebagai balasan.

“Saya pernah menerima beberapa panggilan yang menyatakan mereka ternampak dan menemui Danish.

“Kepada pihak yang tidak bertanggungjawab, jangan ambil kesempatan atas tragedi yang menimpa kami, lebih baik doakan Danish segera ditemui,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, hari ini sudah memasuki hari ke-20 kehilangan Mohd Danish yang dikhuatiri lemas ketika bermain bersama rakan di Bukit Permai, Ampang pada 8 Oktober lalu.

“Naluri saya mengatakan Danish masih hidup tetapi jika terjadi sebaliknya, saya dan keluarga reda kerana yakin Allah sebaik-baik perancang.

“Kami sudah lakukan apa yang termampu termasuk solat hajat, solat istikharah, solat taubat dan sebagainya tetapi nasib masih belum menyebelahi kami,” katanya.

Isma berkata, jika ada mana-mana pihak atau individu yang benar-benar ternampak atau menjumpai Mohd Danish diharap boleh menghubunginya dengan menghantar kanak-kanak itu ke balai polis berdekatan.

Pada 16 Oktober lalu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohd Danish dihentikan selepas kanak-kanak itu gagal ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang sehingga kanak-kanak itu ditemui.

Mangsa dipercayai terjatuh ke longkang ketika bermain bersama rakannya di kawasan berkenaan.

Berita berkaitan

Skop pencarian dikecilkan

Mahu sambut hari lahir dengan badut

Tumpu 2 kawasan [METROTV]

Budak 9 tahun dikhuatiri lemas

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 3:21pm
d