mutakhir

'Kami tak mampu jaga Syafiqah macam arwah ibu'

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

“KAMI adik-beradik tidak mampu mengurus serta menjaga Syafiqah seperti arwah ibu menjaganya sebelum ini,” kata Zubaidah Hassan, 45, kakak kepada Siti Nurul Syafiqah Hassan, 13, yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala.

Jika sebelum ini, Siti Nurul Syafiqah dijaga sepenuhnya oleh ibu mereka, Rosnani Mohamad, 41, sebelum ibu kesayangan meninggal dunia jam 3.50 petang kelmarin akibat sesak nafas.

Zubaidah yang juga kakak sulung daripada 10 beradik itu berkata, walaupun berlainan ibu, dia akan menjaga dan menguruskan keperluan Syafiqah buat sementara waktu kerana permohonan menyerahkan adiknya itu kepada mana-mana pusat jagaan masih dalam proses.

Katanya, jika diikutkan memang dia terasa berat hati untuk menyerahkan Syafiqah kepada orang lain, namun mereka tidak mempunyai pilihan lain dan apa yang dilakukan itu adalah demi kebaikan adiknya.

“Tujuh adik beradik lain menetap di Kuala Lumpur manakala selebihnya tinggal di sini dan dalam kalangan kami, ada yang mempunyai tanggungan serta tanggungjawab kepada keluarga masing-masing.

“Saya dan suami hanya bergantung kepada hasil pendapatan getah untuk menyara dua anak yang berusia sembilan dan 17 tahun demi meneruskan kelangsungan hidup kami sekeluarga.

“Kami tidak mahu keperluan Syafiqah terabai dek kerana desakan hidup,” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Pangkal Kerdas, Tok Bok, Machang, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Siti Nurul Syafiqah disahkan menghidap penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala ketika berusia tujuh bulan.

Disebabkan penyakit itu, Syafiqah terlantar serta tidak mampu bergerak bebas seperti remaja lain seusianya.

Sebelum ini, arwah Rosnani menjaga Syafiqah bersama suami keduanya, Osman Kasim, 62, sejak empat tahun lalu selepas kematian suami pertama pada 2012 disebabkan penyakit paru-paru berair.

Zubaidah berkata, selepas arwah Rosnani meninggal dunia, Syafiqah seolah-olah mengerti bahawa ibu yang menjaga serta menguruskannya selama ini sudah tiada.

“Walaupun Syafiqah tidak dapat bercakap, namun saya selalu mendengar suara merengek memanggil ‘mi’ (panggilan kepada arwah) dan dia menangis kerana terlalu rindukan arwah ibunya,” katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 6:13pm
d