mutakhir

Penternak rugi RM400,000

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

BANJIR melanda daerah ini sejak Khamis lalu turut menjejaskan penternak ikan air tawar dan udang galah.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, seorang penternak ikan air tawar di Kampung Serdai Hilir, kerugian hampir RM400,000 selepas kolam diusahakan pecah menyebabkan 10 tan ikan terlepas ke Sungai Jerang.

“Pengusaha terbabit memberi kebenaran kepada orang ramai menangkap ikan yang terlepas ke sungai bersebelahan kolam ternakan diusahakan.

“Seorang penternak di Kampung Chennah pula kerugian RM222,000 susulan limpahan air Sungai Kenaboi yang masuk ke tiga kolam ternakan udang galah serta ikan tilapia miliknya,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi penternak ikan di Kampung Simpang Durian turut kerugian RM32,000 apabila 1.7 tan ikan tilapia terlepas selepas tebing kolam sepanjang enam meter pecah.

Berikutan itu, pihaknya menghantar laporan siasatan dan laporan polis penternak kepada Ibu Pejabat Jabatan Perikanan bagi urusan permohonan peruntukan bantuan bencana banjir bagi meringankan beban mereka.

Pada Khamis lalu, lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka selepas lima kampung sekitar Chennah dan Pertang dinaiki air.

Kawasan terjejas ialah Kampung Telekong Poum, Kampung Chennah, Kampung Juntai, Kampung Simpang Durian dan Kampung Jerang.

Banjir di semua kampung berkenaan kembali pulih dan semua PPS sudah ditutup sepenuhnya malam kelmarin.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 5:15am
d