mutakhir

Pemandu bas 'lesap': JPJ keluarkan notis

Oleh Hadzlihady Hassan

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sudah mengeluarkan notis 114 kepada pemilik syarikat bas ekspres yang pemandunya meninggalkan kira-kira 40 penumpang di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Juru, di Bukit Mertajam.

Pengarahnya, Mohamat Johari Mat Nor berkata, notis terbabit dikeluarkan untuk temu siasat terhadap pemilik syarikat berkenaan.

“Sekiranya gagal hadir temu siasat, pemilik syarikat bas berkenaan akan disenarai hitam dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Selain itu, kita juga akan mengambil tindakan terhadap pemandu bas yang meninggalkan penumpang di kawasan R&R terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 25 Oktober lalu, kira-kira 40 penumpang ditinggalkan pemandu bas di R&R Juru selama lima jam tanpa dimaklumkan sebarang maklumat kepada mereka.

Bas berkenaan membawa penumpang dari Perlis menuju ke Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang, namun pemandunya berhenti di R&R terbabit sebelum keluar dari bas.

Dia kemudian masuk semula dan mengambil jaket sebelum terus menghilangkan diri membuatkan penumpang pelik kerana menunggu terlalu lama.

Penumpang mula menyedari mereka ditinggalkan dan cuba mencari pemandu bas berkenaan di kawasan sekitar, namun gagal ditemui.

Berikutan itu, ada antara mereka terpaksa menumpang kenderaan lain, malah ada juga yang berpatah balik dan sanggup berjalan sejauh 15 kilometer menuju ke Penang Sentral, Butterworth.

Mereka yang tidak berpuashati kemudian membuat laporan polis dan ada antaranya juga sudah dibayar ganti rugi oleh ejen menjual tiket.

Berita berkaitan

Pemandu bas 'lesap' tinggal penumpang

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 1:36pm
d