mutakhir

APMM turut terkesan pemergian Pitt

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut terkesan dengan pemergian Mohd Firdaus Mohd Hanif, 43 atau Pitt Hanif yang ditemui lemas selepas bot gentian kaca dinaikinya pecah di Sungai Mela, Lipis.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, Allahyarham adalah pengarah filem Coast Guard yang diterbitkan Arie Zaharie Production dan Flying Deal Sdn Bhd dengan kerjasama penuh agensi terbabit.

Menurutnya, Pitt Hanif memulakan pengambaran pada 1 Ogos lalu di Pulau Langkawi dan diteruskan di perairan Kuantan pada 21 September sebelum berakhir pada 25 Oktober lalu.

"APMM terkesan dengan pemergiannya itu kerana arwah bersama kami selama tiga bulan untuk menyiapkan Coast Guard yang mana filem pertama arahannya sendiri dan juga filem pertama yang akan memaparkan tentang mengenai agensi ini ke layar perak.

"Sepanjang proses penggambaran, kami dapat lihat bahawa Allahyarham amat komited dan bersungguh-sungguh dalam arahannya supaya Coast Guard menjadi sebuah filem berkualiti.

“Kami menyokong penuh usahanya sepanjang proses pembikinan berkenaan," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, seluruh warga APMM mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Sabtu lalu, dilaporkan Pitt Hanif yang juga anak kepada seniwati Fauziah Nawi terjatuh ke sungai selepas bot dinaiki bersama rakannya, Sham Mokhtar, 38 terbalik dan terbelah dua ketika mereka memancing di Sungai Jelai, Kampung Mela di Lipis.

Dalam kejadian 11 pagi itu, bot gentian kaca itu dikatakan merempuh tiang besi sebuah jambatan menyebabkan Pitt Hanif dan Sham tercampak ke sungai.

Sham yang juga pengarah fotografi filem itu berjaya menyelamatkan diri tetapi Pitt yang cuba berenang dibawa arus deras sebelum tenggelam.

Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui mayat Pitt Hanif pada 4.25 petang Ahad iaitu 500 meter dari lokasinya terjatuh.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mayat Pitt dijumpai terapung

'Pitt... maafkan mama' - Fauziah Nawi [METROTV]

'Saya masih perlukan dia'

Fauziah Nawi sabar menanti...

Pitt cuba berenang untuk selamatkan diri

[UPDATE] Radius 3km cari Pitt Hanif

'Saya tahu awak kuat Pitt' - Farah

Anak Fauziah Nawi dikhuatiri lemas

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 2:26pm
d