mutakhir

Banjir: Mangsa di Perak meningkat

Oleh Muhammad Apendy Issahak

HUJAN lebat berterusan sejak semalam hingga awal pagi hari ini, menyebabkan keadaan banjir di negeri ini kembali buruk.

Setakat 12.30 tengah hari tadi, 642 penduduk daripada 162 keluarga dipindahkan ke tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah iaitu Kerian, Hilir Perak, Batang Padang dan Manjung.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 508 penduduk membabitkan 125 keluarga ditempatkan di enam PPS, pada 4 petang semalam.

Peningkatan itu selepas satu PPS di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai, Pantai Remis, Manjung dibuka 9 malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso memaklumkan Jalan Seputih - Batu Hampar (laluan dari Pekan Parit ke Pekan Tanjung Belanja) ditutup satu lorong susulan kejadian cerun runtuh, pagi semalam.

“Pengguna dimohon menggunakan laluan alternatif iaitu dari Tanjung Belanja/Senggang/Kuala Kangsar menggunakan Jalan Bota Kiri - Tanjung Belanja dan seterusnya ke Jalan Ipoh - Lumut, manakala dari Parit gunakan Jalan Bota Kanan-Parit dan seterusnya ke Jalan Ipoh - Lumut,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 2:26pm
d