mutakhir

32 ditahan di hutan simpan

Oleh Mohd Rafi Mamat

TUJUH wanita adalah antara 32 individu ditahan dalam Operasi Deepavali dijalankan Jabatan Perhutanan di Jerantut selepas memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit.

Individu berusia antara 23 hingga 51 tahun itu ditahan ketika sedang berkelah dan memancing di kawasan Hutan Simpan Berkelah.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Mohd Zarin Ramlan berkata, dalam operasi selama dua hari itu yang turut membabitkan anggota Unit Penguat Kuasa Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang turut menyita 11 kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot gentian kaca selain beberapa peralatan menangkap ikan.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dalam operasi selama dua hari yang berakhir semalam itu terbahagi kepada beberapa kumpulan dan mereka berada dalam kawasan hutan simpan terbabit untuk beriadah bersama ahli keluarga sambil menangkap ikan di Sungai Song dan anak Sungai Tekai.

Katanya, siasatan mendapati individu yang ditahan terdiri daripada peneroka FELDA Lepar Utara dan selebihnya datang dari Temerloh, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Turut disita sepanjang operasi itu ialah dapur dan tong gas serta empat unit pemotong kayu bergergaji yang dipercayai untuk memotong kayu bagi mendirikan khemah termasuk 12 unit tempat tidur.

“Ini kali pertama kita mengadakan Operasi Deepavali dalam hutan simpan selepas mendapati semakin banyak kes individu berada dalam hutan simpan tanpa permit,” katanya hari ini.

Beliau berkata, individu yang berada dalam hutan simpan tanpa permit boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984, jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tiga tahun atau keduanya sekali.

Mohd Zarin berkata, pihaknya mengharapkan dapat menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

“PHD Jerantut akan menambah lebih banyak papan tanda amaran di semua kawasan hutan simpan di daerah ini bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan individu yang berada dalam hutan simpan tanpa permit, tindakan tegas menunggu pihak terbabit walaupun apa juga alasan diberikan.

“Operasi Deepavali yang turut disertai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dianggap berjaya dan berkesan,” katanya.

Bulan lalu, PHD Rompin bertindak menahan lapan pekerja syarikat pembalakan warga tempatan dan Indonesia yang berada dalam Hutan Simpan Lesong, Muadzam Shah tanpa permit.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 2:53pm
d