mutakhir

'Saya sebak, tak mampu ke pentas' [METROTV]

Oleh Hasbi Sidek

“SAYA tidak mampu untuk naik ke pentas dan mengambil ijazah arwah, saya tidak dapat menahan sedih,” kata Laili Mohd Lajis, 53, ibu kepada graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang meninggal dunia pada Februari lalu akibat jangkitan kuman.

Allahyarham Mohamad Saifuddin Mohd Ridza, 23, penuntut Sarjana Muda Sains (Kepujian) Statistik, UiTM Kampus Seremban 3, Seremban sepatutnya menerima ijazahnya di majlis Konvoksyen UiTM Ke-91 di Kampus UiTM Rembau hari ini.

Laili berkata, ketika melihat graduan lain meraikan kejayaan menamatkan pengajian bersama rakan dan ibu bapa masing-masing, dia pula terpaksa menahan kesedihan kerana anaknya itu tidak sempat untuk merasainya.

Menurutnya, dia tidak mampu untuk naik ke pentas mengambil sijilnya dan meminta anak ketiga, Nurul Akmal Mohd Ridza, 29, naik ke pentas.

“Sebaik nama arwah disebut, saya tidak dapat menahan sebak. Ibu bapa graduan lain yang berada di sebelah saya cuba menenangkan saya ketika Nurul Akmal mengambil sijil arwah,” katanya ketika ditemui sejurus majlis berkenaan tamat hari ini.

Laili berkata, kehilangan Mohamad Saifuddin adalah satu tamparan hebat buat keluarganya kerana Allahyarham meninggal dunia selepas 10 hari suaminya menghembuskan nafas terakhir.

“Suami mengalami penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang. Kami sekeluarga sudah menjangkakan arwah akan pergi meninggalkan kami dengan keadaannya.

“Ketika arwah suami sedang tenat, Saifuddin juga sedang sebenarnya menahan kesakitan akibat jangkitan kuman, namun pemeriksaan di hospital kerajaan memaklumkan anak saya tidak mengalami apa-apa masalah.

“Dia sempat berpesan kepada saya supaya kuat dan sabar menghadapi dugaan, sedangkan keadaannya ketika sudah agak tenat.

“Selepas 10 hari suami meninggal dunia, Saifuddin pula ‘pergi’ akibat jangkitan kuman pada organ dalaman,” katanya.

Laili menyifatkan anaknya seorang baik dan pandai menghormati orang tua selain disenangi rakan.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 3:08pm
d