mutakhir

Tekup serbuk lada, samun pemandu e-hailing

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PEMANDU e-hailing wanita berdepan detik cemas apabila mukanya ditekup dengan serbuk lada sebelum kenderaannya dilarikan dua individu dalam kejadian samun di Jalan Susur, Seri Alam malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Ismail Dollah berkata, kejadian berlaku pada 8 malam ketika mangsa yang berusia 26 tahun menghantar dua suspek di Taman Rinting.

Menurutnya, mangsa dikatakan mengambil dua penumpang di Johor Bahru pada 7.30 malam.

“Suspek kemudiannya meminta mangsa menghantar mereka ke Taman Rinting dengan seorang duduk di hadapan dan seorang lagi berada di tempat duduk belakang.

“Seorang suspek di tempat duduk hadapan minta pengadu menurunkannya di Jalan Sayur untuk keluar ke Taman Rinting,” katanya.

Menurutnya, selepas memberhentikan kenderaannya secara tiba-tiba suspek di bahagian tempat duduk belakang menekup muka mangsa dengan tangan.

“Dipercayai suspek itu meletakkan serbuk lada pada tangannya hingga menyebabkan mata pengadu merasa pedih sebelum seorang lagi suspek menarik pengadu keluar dari kenderaannya.

“Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan kenderaan itu dan meninggalkan mangsa di tepi jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa mengalami kerugian hilang wang tunai RM35, kereta jenis Proton Saga serta beberapa dokumen penting.

Katanya, orang ramai terutama pemandu e-hailing diminta lebih berwaspada dan berhati-hati ketika mengambil penumpang.

“Mereka perlu mengenal pasti wajah dan diskripsi mereka untuk membantu polis jika berlaku kejadian jenayah,” katanya.

Menurut Ismail, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulàn yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 3:47pm
d