mutakhir

Wanita China mengaku tidak bersalah [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

WANITA China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini terhadap tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) maut di Jalan Datuk Keramat pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Liu Shasha, 24, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut pertuduhan, Liu pada 6.25 pagi itu didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol atau dadah menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Datuk Keramat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun.

Seksyen itu juga memperuntukkan denda tidak kurang RM8,000 hingga RM20,000.

Rosnee kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 8 November ini sebagai tarikh sebutan semula untuk pengesahan ketulenan pasportnya daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nabila Huda Muhammad Nazim, manakala tertuduh diwakili peguam A Ashok.

Sementara itu, seorang lelaki yang juga pemilik kereta berkenaan turut dihadapkan ke mahkamah sama atas kesalahan membenarkan kenderaannya dipandu Liu.

Tertuduh, Garrett Lim Nian Siang, 23, yang juga seorang tukang masak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Rosnee.

Rosnee kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap tertuduh yang ketika kejadian turut berada di tempat penumpang hadapan.

Garrett yang juga rakan Liu didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 26 APJ 1987 pada waktu dan tempat yang sama.

Dalam kejadian itu, kakitangan MBPP Mohaidin Gani Mohamad, 58, maut selepas motosikal ditunggang dirempuh Honda Accord dipandu wanita terbabit.

Berita berkaitan

Maut dirempuh pemandu dipercayai mabuk [METROTV]

Wanita China langgar penunggang motosikal direman

'Arwah sempat solat Subuh berjemaah'

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 4:47pm
d