mutakhir

Haiwan liar makin terancam

Oleh Noorazura Abdul Rahman

POPULASI hidupan liar di Kedah semakin membimbangkan apabila kehadiran haiwan ini yang direkodkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Hutan Simpan (HS) Ulu Muda semakin berkurangan.

Pengarahnya, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, ia berdasarkan data rakaman pada 15 unit kamera yang dipasang pada tahun lalu.

Katanya, hanya empat ekor harimau dahan yang berjaya dirakam, selain masing-masing seekor beruang, musang lamri dan tikus buluh, namun tiada lintasan harimau belang direkodkan.

“Antara haiwan lain adalah gajah (36) rusa sambar (33), landak raya (7), kijang (24) musang pulut (3), tapir (15), beruk (44) dan babi (133). Jumlah ini memberi gambaran betapa seriusnya habitat mereka yang semakin terancam akibat pemburuan haram dan pembalakan.

“Daripada 15 unit kamera yang dipasang, sebanyak tiga kamera dirosakkan dan dicuri oleh pemburu haram,” katanya semasa pembentangan data berkenaan sempena Majlis Kempen Kesedaran dan Program Roadshow Pelaksanaan Pelan Induk Koridor Ekologi Central Forest Spine (CFS) negeri Kedah di Pengkalan Gubir, Hutan Simpan Chebar Besar, di Sik.

Pembentangan itu disampaikan oleh Pegawai PERHILITAN negeri, Azmi Mat Nawi.

Mengulas lanjut, Jamalun berkata, semua kamera itu dipasang di kawasan CFS di dalam HS Bukit Saiong (SL7) berikutan kerana ia adalah laluan utama hidupan liar.

Katanya, pada masa sama, PERHILITAN turut mengambil pendekatan membuat jenut buatan bagi memperbanyakkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan.

“Di antara 15 kamera tadi, empat unit daripadanya dipasang di lokasi jenut buatan, jenut ini sangat penting untuk meningkatkan kesihatan haiwan.

“Dari segi penguatkuasaan pula, PERHILITAN bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) untuk melakukan tangkapan terhadap individu yang terbabit dalam pemburuan haram,” katanya.

Sebanyak 11,790 hektar hutan diwartakan sebagai kawasan CFS di Kedah yang bertujuan mewujudkan semula hubungan, jaringan, mengekalkan dan memulihara kawasan hutan.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 5:27pm
d