mutakhir

Padah bina kandang kambing haram

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

BUKAN saja beroperasi secara haram, sebaliknya penternak kambing bertindak menceroboh tanah milik kerajaan dengan membina kandang kambing haram bagi memudahkannya memelihara haiwan itu.

Bagaimanapun, kandang kambing haram itu yang dibina di kawasan lapang bersebelahan sebuah kilang cermin di Kuang dirobohkan penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), 9 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, tindakan meroboh kandang kambing haram itu dibuat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965, berikutan dibina tanpa kebenaran Pentadbir Tanah.

“Operasi meroboh kandang kambing itu susulan aduan orang ramai mengenai tindakan penternak yang menceroboh dan membina kandang kambing haram di kawasan terbabit.

“Bagaimanapun, operasi meroboh kandang kambing itu ditangguhkan apabila penternak haiwan berkenaan datang ke lokasi dan diarahkan untuk mengosongkan kawasan tanah itu daripada sebarang struktur binaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zin berkata, haiwan ternakan milik penternak itu diserahkan kepada pemiliknya dan MPS dengan kerjasama PDT Gombak akan terus memastikan orang ramai tidak menceroboh tanah milik kerajaan.

Katanya, tindakan meroboh struktur akan diambil serta-merta jika mereka menerima maklumat mengenai kegiatan pencerobohan tanah milik kerajaan.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 8:14pm
d