mutakhir

Diperkosa pemandu kereta tak dikenali

Oleh Norizuan Shamsuddin

TINDAKAN wanita berusia 20 tahun menumpang kereta lelaki tidak dikenali membawa padah apabila dia dirogol individu terbabit di kawasan pembuangan sampah di Kampung Mak Chili, Chukai, Jumaat lalu.

Menurut sumber, kejadian berlaku sewaktu mangsa menunggu bas di perhentian bas di kampung itu untuk ke rumah kakaknya di Kampung Gong Limau, pada 9 pagi.

“Sewaktu menunggu bas, mangsa didatangi seorang lelaki memandu kereta Proton Saga yang kemudian mempelawa wanita terbabit menaiki kenderaannya.

“Wanita itu setuju sebelum lelaki berkenaan membawa mangsa ke kawasan pembuangan sampah sebelum mencabul mangsa.

“Tidak cukup dengan itu lelaki berkenaan turut merogol wanita terbabit sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan di Kampung Gong Limau,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, wanita terbabit meminta bantuan kakak angkatnya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada hari sama.

Katanya, wanita terbabit mengingati plat kereta terbabit dan sudah memberi keterangan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian rogol terbabit.

“Susulan laporan berkenaan, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

“Semakan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang rekod lampau dan hasil saringan ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.

“Bagaimanapun, suspek kini direman selama enam hari sehingga 31 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 9:08pm
d