mutakhir

Operasi cari Danial Danish ditangguh

Oleh Zaid Salim

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) remaja, Muhammad Danial Danish Mohd Jasmin, 14, yang dikhuatiri lemas di sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Tuan Chik, Kuala Terengganu, ditangguhkan pada 10.30 malam tadi dan akan disambung semula pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, setakat ini operasi SAR dilakukan menggunakan kaedah selaman dilakukan sembilan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuala Terengganu.

“Sejak kejadian 2.45 petang tadi, sebanyak empat selaman dilakukan bagi mencari mangsa.

“Selaman terakhir dilakukan pada 9.45 malam dan dihentikan pada 10.30 malam ekoran arus sangat deras.

“Bagaimanapun, pencarian di permukaan air akan diteruskan 45 anggota penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Unit Amal serta penduduk kampung,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut memasang pukat pada radius 50 meter ke muara dan 50 meter ke hulu merentasi sungai dengan kedalaman dianggarkan lebih 10 meter itu bagi usaha mencari mangsa.

Katanya, pihaknya akan menggunakan khidmat dua anjing pengesan JBPM bagi mengesan mangsa.

Berita berkaitan

Mandi sebelum memancing [METROTV]

Remaja dikhuatiri lemas

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 1:04am
d