mutakhir

Pesta sukan air musim tengkujuh

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

FENOMENA Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang berlaku di negeri ini dimanfaatkan sepenuhnya penduduk Kampung Temir, Telemong dengan menganjurkan Pesta Sukan Air di Sungai Temir, kelmarin.

Pelbagai acara menarik dan unik seperti pertandingan menjala ikan di atas perahu, mengejar itik air, bergusti dan tarik tali di dalam air dianjurkan bersesuaian dengan musim tengkujuh yang baru bermula di negeri ini.

Pada program pertama kali dianjurkan itu juga sebanyak 50 anak tuntung dilepaskan di Sungai Temir bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sebagai usaha pemuliharaan haiwan eksotik berkenaan.

Peserta, Sauti Mohd Nor, 57, berkata, dia kali pertama menyertai sukan tradisional di dalam air dan ia memberi pengalaman yang sangat menyeronokkan.

Katanya, pengalaman terbabit sukar diperoleh melalui program yang pernah disertainya sebelum ini.

“Paling mencabar ialah pertandingan tarik tali di dalam air kerana ia dua kali ganda lebih mencabar berbanding tarik tali biasa dan proses menarik pasukan lawan di dalam air tidak semudah ketika bertanding di padang.

“Pertandingan mengejar itik dan bergusti di dalam air pula mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak. Sepatutnya pertandingan berkonsep sukan air seperti itu dijalankan sejak dulu di kampung ini, ia memberi pengalaman baharu kepada penduduk terutama golongan muda.

“Kampung ini mempunyai Sungai Temir yang luas dan sesuai untuk penganjuran program seperti ini.

“Oleh itu, saya berharap pihak bertanggungjawab berterusan menganjurkannya dan tidak hanya terhad pada musim tengkujuh,” katanya.

Sementara itu, peserta, Mohamad Azam Mustafa, 25, berkata, dia menyertai hampir semua acara yang dipertandingkan kerana ingin merasai sendiri pengalaman bersukan dalam air.

“Paling memberi pengalaman baharu ialah pertandingan kupas kelapa menggunakan kayu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Temir, Mohd Asri Mohamad Nor berkata, program kali pertama dianjurkan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung selain kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri bagi keselamatan peserta.

“Seramai 4,000 penduduk dan penonton menyertai serta memeriahkan program berkenaan yang dilaksanakan sesuai dengan musim tengkujuh yang baru bermula di negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 5:00am
d