mutakhir

Ajal kereta rempuh pokok

Oleh Zuliaty Zulkiffli

DUA lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Tanah Merah, di Jitra, hari ini.

Mangsa, Mohd Irfan Rosli, 23, dan Mohd Aswat Mokhtar, 23, yang parah meninggal dunia

di tempat kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 2.44 pagi.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra tiba di lokasi, jam 2.51 pagi.

Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Adnan Ahmad bersama lapan anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan kereta yang dinaiki mereka yang terbabas dan melanggar pokok.

“Kedua-dua lelaki itu tersepit di tempat duduk masing-masing dan anggota BBP Jitra membantu mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sayani berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat jam 3.51 pagi.

Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 9:11am
d