mutakhir

Mekanik didakwa rogol anak tiri

Oleh Aizat Sharif

MEKANIK dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas pertuduhan merogol anak tirinya di sebuah rumah di Alor Setar, pada 2015.

Tertuduh yang berusia 45 tahun itu bagaimanapun hanya mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa merogol anak tirinya yang berusia 18 tahun ketika itu, di mana perhubungan tertuduh dengan mangsa adalah tidak dibenarkan mengikut undang-undang sama ada hukum agama, adat atau kebiasaan yang terpakai oleh tertuduh untuk berkahwin dengan mangsa.

Oleh hal demikian, tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan,

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dari 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri Kedah, Mohd Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Alif dalam hujahannya memohon mahkamah supaya tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh kerana mengambil kira seriusnya jenayah yang dilakukan tertuduh.

Malah, tindakan memberi jaminan kepada tertuduh juga dikhuatiri mampu membuatkan mangsa diganggu tertuduh sementara menantikan proses perbicaraan berlangsung.

Mahkamah kemudian memutuskan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 12 November hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 1:10pm
d