mutakhir

5.082 aduan pengguna terhadap peniaga

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

TERLEPAS pandang, lupa, pekerja baru dan baru buka kedai menjadi alasan popular diberikan peniaga yang dikesan melakukan kesalahan berkaitan tanda harga.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, sejak awal tahun sehingga semalam, pihaknya menerima 5,082 aduan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, aduan mengenai tanda harga adalah tertinggi iaitu merekodkan 1,065 aduan.

“Apabila penguat kuasa kami menjalankan pemeriksaan, pelbagai alasan diberikan bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Kesalahan sering dikesan seperti tiada tanda harga, harga dipaparkan kurang jelas selain harga yang mengelirukan.

“Namun alasan atau helah diberikan tidak dilayan dan mereka dikenakan tindakan mengikut akta bersesuaian yang dikuatkuasa KPDNHEP,” katanya ketika ditemui selepas program Lawatan Kerja Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2019 di Bandar Mahkota Cheras, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Azizan Abdullah.

Mengulas mengenai SHMMP Deepavali 2019, Muhamad Zikril berkata, sejak skim harga bermula 20 Oktober lalu, pihaknya sudah memeriksa 2,167 premis perniagaan.

“Daripada jumlah itu, dua premis iaitu di Gombak dan Kajang dikesan gagal menggunakan tanda harga berwarna merah jambu terhadap barangan kawalan.

“Mereka dikenakan kompaun RM300 mengikut Perintah 2 (1) Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal) 2019,” katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 1:27pm
d