mutakhir

Simpan 55 video lucah dalam telefon pintar

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

TINDAKAN seorang pemilik kedai telefon menyimpan 55 video lucah dalam telefon pintarnya mengundang padah apabila didenda RM8,250 di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Nur Farahain Razlan menjatuhkan hukuman itu terhadap See Foo Hoong, 36, selepas mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki 55 kandungan video lucah disimpan dalam telefon pintar iPhone di sebuah kedai di Jalan Radin Bagus, Bandar Baru Sri Petaling, jam 12.30 petang, 25 Oktober tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, Nazrul Nizam Zameri manakala tertuduh diwakili peguam KT Tang.

Terdahulu, Tang merayu anak guamnya diberikan hukuman ringan berbentuk denda atas alasan tertuduh menanggung keluarga dan sudah insaf selain kesalahan pertama tertuduh.

Bagaimanapun, Nazrul Nizam memohon mahkamah memberi hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 2:26pm
d