mutakhir

'Kami tetap tak berminat' - PLUS

Oleh BERNAMA

KHAZANAH Nasional Bhd tidak berminat menjual syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia, PLUS Malaysia Bhd.

Pengarah Urusannya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, Khazanah yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS mengekalkan pendiriannya untuk tidak menjual pegangannya dalam PLUS.

“Kami tidak berminat menjual aset ini dan sebenarnya tidak mendapat apa-apa jenis proses bidaan,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Korporat Permodalan Nasional Bhd (PNB) 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Shahril berkata, beliau juga sama seperti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat semua tawaran tidak menarik.

“Tun (Dr Mahathir Mohamad) menyatakan bahawa tiada tawaran menarik. Oleh itu, saya berpegang kepada (kenyataan) itu,” katanya.

Terdahulu, Widad Business Group Sdn Bhd, hari ini, menaikkan tawarannya untuk memperoleh 100 peratus kepentingan ekuiti dalam PLUS dengan jumlah nilai perusahaan RM38.34 bilion.

Ini termasuk RM5.3 bilion untuk kepentingan ekuiti, pengecualian pampasan RM3.04 bilion dan andaian hutang RM30 bilion.

Tawaran lain untuk PLUS adalah daripada ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad bersama rakan niaga, Datuk Wong Gian Kui yang merancang mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam PLUS dengan nilai RM5.2 bilion.

Maju Holdings Sdn Bhd, pengendali Maju Expressway juga mengemukakan tawarannya untuk memperoleh PLUS dengan nilai perusahaan RM34.9 bilion termasuk hutang PLUS kepada pemegang bonnya.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 5:09pm
d