mutakhir

Dadah punya pasal

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

EMPAT belas anggota berpangkat rendah dan seorang inspektor polis bertugas di Terengganu, digantung tugas selepas didapati positif dadah melalui saringan urin dalam Ops Blue Devil, sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, masalah keluarga, perasaan ingin tahu, selain sering berurusan dan bercampur dengan pesalah dadah dikenal pasti antara faktor mendorong mereka terjebak dengan najis dadah.

Beliau berkata, kes membabitkan mereka yang berusia 30-an hingga 40-an itu ada yang dalam proses pertuduhan di mahkamah dan sebahagian lagi dalam peringkat siasatan.

“Ada kes yang mana kita menemui dadah di rumah pegawai terbabit untuk kegunaan sendiri. Kes masih lagi dalam siasatan dan pegawai terbabit sudah digantung tugas.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap pegawai dan anggota polis terbabit dadah dan semua mereka yang positif dadah sudah digantung tugas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelupusan Barang Kes Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Katanya, polis akan terus memanggil dan melakukan ujian saringan urin terhadap semua pegawai dan anggota, sekiranya didapati positif, tangkapan akan dilakukan.

Sementara itu Aidi berkata, sehingga Oktober, sebanyak 7,384 kes dan 8,706 tangkapan dilakukan membabitkan kes dadah.

Daripada itu, 3,584 tangkapan membabitkan tangkapan bekalan dan memiliki dadah.

Katanya, 2,085 tangkapan adalah rampasan pil yaba atau pil kuda yang juga permintaan tinggi dadah di Terengganu.

“Kita dapati, pil yaba ini dibawa masuk dari negara jiran melalui utara tanah air seterusnya ke Kelantan dan Terengganu.

“Polis akan sentiasa mengadakan operasi termasuk yang terbaru Ops Tokan untuk menyekat aliran dadah ini masuk atau melalui negeri ini,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, pelbagai jenis dadah bernilai RM810,660 yang dirampas sejak 2007 hingga 2017 membabitkan 971 kertas siasatan, dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah.

Kesemua barangan kes itu akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, yang membabitkan heroin seberat 148.89 gram, Methamphethamine (612.97 gram), kanabis (127.08 gram) dan erimin 5 (6.01 gram).

“Selain itu, turut dilupuskan daun ketum seberat 49.09 kilogram, air ketum (52.3 liter) dan codiene (266.08 liter),” katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 5:54pm
d