mutakhir

'Iklan itu palsu'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menafikan terbabit dalam iklan tawaran perkahwinan warga asing dengan wanita tempatan sebagaimana gambar yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

JIM dalam kenyataannya hari ini berkata, sebaliknya iklan yang menawarkan pakej perkahwinan dengan bayaran RM300,000 itu ditawarkan lelaki tempatan yang menggunakan nama agensi itu tanpa kebenaran.

Katanya, sepasukan pegawai imigresen ke lokasi iklan itu diletakkan di Bukit Bintang semalam dan mengarahkan perkataan ‘Imigresen’ yang tertera dalam papan iklan itu dipadamkan.

“Untuk makluman, JIM tidak pernah terbabit dalam mana-mana iklan yang menawarkan perkahwinan warga asing dengan wanita tempatan.

“Selepas ini JIM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebar atau menggunakan nama JIM tanpa kebenaran untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, gambar iklan menawarkan pakej perkahwinan antara warga asing dengan wanita tempatan itu tular di media sosial.

Papan iklan itu menyebut ‘Pendatang asing mahu berkahwin wanita muslim Malaysia perlu membayar tunai RM300,000 kepada wanita dan keluarganya’.

Iklan itu turut menyatakan rujukan temuduga oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Imigresen serta Majlis Agama Islam Negeri.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 9:49pm
d