mutakhir

Dilema penjaja Danau Kota

Oleh Faliq Lajim

HARAPAN penjaja Bazar Larut Malam (Uptown) Danau Kota untuk berniaga di tapak baru musnah berikutan kawasan itu dipenuhi lopak air.

Terdahulu, penjaja di situ diminta berpindah ke Bazaria Wangsa Maju yang terletak berhampiran bazar lama selepas mendapat arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tinjauan di tapak bazar baharu itu mendapati tiada penjaja berniaga di situ namun sebaliknya mereka memilih untuk kekal di tapak lama.

Penjaja aksesori telefon pintar, Adri Ismail, 50, berkata, dia sudah berniaga di tapak itu sejak 2007.

“Pada 4 Oktober lalu kami dapat arahan berniaga di tempat baru mulai hari ini tetapi terkejut dengan tapak itu penuh lopak air seperti jalan kampung.

“Tapak ini adalah bekas loji dan jika tidak diturap dengan baik ia menyebabkan lopak. Jadi, kita minta DBKL turap balik bagi cantik,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Kanan (Projek) DBKL, Norzaini Noordin berkata, kerja pembaikan di tapak berkenaan sedikit terbantut berikutan hujan hampir setiap hari.

“Namun kami akan mulakan kerja membaiki permukaan tapak di bazaria bermula pagi esok. Malam mereka berniaga, pagi kita buat kerja pembaikan.

“Kita minta peniaga untuk datang berniaga terlebih dulu di bazaria. Selepas itu buat aduan kepada pihak pengurusan jika tapak mereka itu mendap dan berlopak teruk,” katanya.

Penduduk dan penjaja di Danau Kota itu turut mengadakan bantahan aman malam ini bagi mengekalkan bazar sedia ada sebelum ia dipindahkan ke tapak kekal berhampiran Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dijangka siap 2022.

Sementara itu Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mohd Yusoff Ahmad berkata, kebanyakan penduduk mahu tapak bazaria itu dijadikan tapak parkir pelanggan serta penjaja.

Menurutnya, ia adalah sebagai salah satu langkah mengatasi kesesakan memandangkan tapak bazaria itu boleh memuatkan hampir 1,000 kenderaan.

“Namun penyelesaian untuk memindahkan ke tapak sementara itu hanya menyebabkan berlakunya lagi kesesakan di kawasan rumah kami,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 12:07am
d