mutakhir

LTTE: 12 individu naik mahkamah [METROTV]

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

DUA BELAS individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen beberapa negeri berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sekali lagi berdepan dengan pertuduhan serupa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Lumpur.

Di hadapan Hakim Rozina Ayob, empat tertuduh, masing-masing ADUN Gadek, G Saminathan, 34; pemandu teksi, V Balamurugan, 37; penghantar surat, S Teeran, 38, dan pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 36, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes-kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh masing-masing didakwa atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial iaitu Facebook dan Youtube milik mereka.

Perbuatan kesemua tertuduh didakwa dilakukan di pejabat pegawai penyiasat Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Kuala Lumpur, antara 8 dan 9 Oktober lalu.

Kalaimughilan pula berdepan satu lagi pertuduhan iaitu memberi sokongan dalam satu majlis di dewan Wisma Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, No 2 Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap di Kuala Lumpur, antara jam 8 dan 11.30 malam, 17 Mac 2014.

Bagi pertuduhan memberi sokongan, tertuduh masing-masing didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Teeran turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu memiliki item berunsur perbuatan keganasan yang didakwa mengikut Seksyen 130J B (1)(a) Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad tidak menawarkan jaminan kepada keempat-empat tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Sosma.

Bagaimanapun peguam Ram Karpal Singh yang mewakili Saminathan memohon anak guamnya dibenarkan jaminan atas budi bicara mahkamah selain berhujah pertuduhan di bawah SOSMA adalah tidak berpelembagaan.

Permohonan jaminan juga turut dikemukakan tertuduh lain melalui peguam mereka.

Mahkamah menetapkan esok (Jumaat) untuk keputusan sama ada jaminan terhadap kesemua tertuduh dibenarkan atau sebaliknya.

Sementara itu, pertuduhan terhadap lapan lagi tertuduh di dua Mahkamah Sesyen lain belum bermula.

Pada 10 Oktober lalu, dua ADUN, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan mengikut SOSMA, selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dua hari kemudian, polis menahan lima lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang diklasifikasikan sebagai pengganas di Malaysia bermula pada 2014.

Organisasi militan diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran itu juga turut tersenarai sebagai pengganas di Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 1:17pm
d