mutakhir

Dendam anjing pernah nak gigit anak

Oleh Nur Lela Zulkipli

POLIS menahan kontraktor yang dipercayai menembak lima ekor anjing terbiar sehingga mati di Kota Kemuning di Shah Alam, pada Ahad lalu.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam 11.40 malam, di Saujana Putra, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat orang ramai dan penelitian kamera litar tertutup (CCTV).

“Pemeriksaan di dalam kereta jenis Proton Saga milik suspek turut menemui selaras senapang angin jenis Sig Sauer P226 serta lima butir peluru.

“Soal siasat suspek mengaku terbabit dalam kes tembak berkenaan sehingga menyebabkan kematian lima ekor anjing itu.

“Motif adalah kerana dendam disebabkan anjing itu pernah hendak menggigit kaki anaknya berusia 7 dan 12 tahun,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit kini direman tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Ahad lalu, suri rumah yang kerap memberi makanan kepada anjing liar di sekitar Kota Kemuning, di sini, terkejut apabila menemui lima ekor haiwan itu mati dibunuh individu tidak bertanggungjawab.

Difahamkan, wanita berusia 49 tahun itu menaiki kereta sejauh kira-kira enam kilometer (km) setiap hari untuk memberi makanan kepada kira-kira 15 ekor anjing liar di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 1:40pm
d