mutakhir

Padah 'toreh' rakan serumah

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PEKERJA salon kecantikan dihukum penjara 16 bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, selepas mengaku atas atas dua pertuduhan mengugut dan mencederakan rakan serumahnya.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Nur Qistina Abdullah, 23.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengacukan pisau ke leher mangsa, Nurbati, 44, yang juga warga Indonesia di rumah sewa mereka di Jalan Balik Bukit, Kuala Terengganu, 8.18 malam, 29 Oktober 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pisau pemotong kertas terhadap mangsa di alamat, waktu dan hari sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Nabihah Hanim.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian, tertuduh ada menegur sikap mangsa yang tidak mahu menjaga kebersihan dapur di rumah sewa mereka.

Tertuduh gagal mengawal perasaan marahnya sebelum mengambil pisau lalu mengacukan ke leher mangsa selain turut menoreh lengan kiri wanita itu menggunakan senjata sama.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 2:29pm
d