mutakhir

1,560 polis kawal final Piala Malaysia

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SERAMAI 1,560 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.

Dianggarkan seramai 85,000 penonton akan hadir menyaksikan perlawanan antara Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,350 anggota ditugaskan menjaga keselamatan sementara 210 lagi mengawal lalu lintas.

“Demi memastikan kelancaran hari perlawanan, kawalan lalu lintas bermula jam 8 pagi sementara bagi pihak keselamatan bermula jam 3 petang.

“Polis Kuala Lumpur akan cuba memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang ramai,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, polis turut menasihati penyokong menggunakan pengangkutan awam ke stadium berikutan parkir agak terhad.

“Terdapat 3,394 parkir disediakan dan sekiranya penuh, tindakan penutupan atau lencongan jalan akan dibuat.

“Jangan sama sekali meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar laluan masuk dan keluar Bukit Jalil sekiranya tidak mahu disaman atau tunda kerana menghalang lalu lintas.

“Kepada sesiapa yang tidak bertujuan menonton perlawanan bola sepak, elak gunakan jalan sekitar Bukit Jalil,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, bas penyokong Kedah akan ditempatkan di Parkir F sementara bas penyokong JDT di Taman Teknologi Malaysia manakala kenderaan awam ialah di parkir A, B, D dan E.

“Pemeriksaan akan dibuat sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium terhadap penonton dengan mereka ditegah membawa barang terlarang seperti mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, mancis, pemetik api, objek tajam, senjata. minuman keras, payung, botol dan tongkat.

“Polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada penyokong dan penonton yang melanggar arahan ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Penonton juga dinasihatkan menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan ketika atau selepas perlawanan,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 2:51pm
d