mutakhir

Tonto larikan pemandu, tinggalkan arak

Oleh Ibrahim Isa

PEMANDU lori membawa muatan arak seludup sempat melarikan diri daripada pihak berkuasa dengan bantuan tonto yang mengekori kenderaan itu sehingga Bandar Uda Utama, Johor Bahru.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor Superintendan Noor Azman Jamal berkata, pasukan risiknya yang menjalankan Ops Landai mengesan pergerakan lori itu pada 28 Oktober lalu.

Katanya, pasukan berjaya memintas kenderaan berkenaan di Bandar Uda Utama dan menahannya pada 10.30 pagi, namun pemandu lori itu yang berhenti di tepi jalan bertindak melarikan diri dengan bantuan tonto.

“Lori bernilai RM100,000 dirampas dan pemeriksaan di dalamnya menemui pelbagai jenis minuman keras dipercayai cuba diagihkan ke beberapa kedai sekitar bandar raya ini (Johor Bahru).

“Bertindak atas maklumat sama, pasukan turut menyerbu sebuah kilang yang dijadikan stor untuk menyimpan minuman keras seludup di Taman Sri Yaacob,” katanya pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Noor Azman berkata, rampasan arak bernilai lebih RM1.5 juta yang membabitkan 4,308 botol dan 432 tin minuman keras pelbagai jenama termasuk duti import RM590,432; duti eksais (RM705,066) dan cukai jualan (RM150,550).

Katanya, selain itu pihaknya merampas lori berkenaan yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM1.6 juta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan Kastam dan kami percaya semua minuman keras itu diseludup menggunakan jalan darat.

“Selain itu, kami dapati taktik penyeludup yang kini tidak menyimpan barangan seludup dalam kuantiti besar, sebaliknya menjual barangan itu secara harian bagi mengelak kerugian jika ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 2:54pm
d