mutakhir

Wang pinjaman tak dapat, duit sendiri lesap

Oleh Norizuan Shamsuddin

BURUH rugi RM2,930 selepas diperdaya individu yang dikenali menerusi media sosial ketika berurusan membuat pinjaman peribadi pada 23 Oktober lalu.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila lelaki berusia 22 tahun itu melihat iklan pinjaman wang peribadi yang dimuat naik di Facebook (FB) ketika berada di rumahnya di Kampung Limbong di Dungun pada 3.25 petang.

Katanya, mangsa kemudiannya menghubungi nombor telefon yang tertera untuk urusan pinjaman itu bagi menampung kos perkahwinannya.

“Lelaki terbabit berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dengan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Amirul.

“Mangsa memaklumkan mahu membuat pinjaman peribadi sebanyak RM15,000 dan meminta Amirul memberikan penerangan bagi proses itu.

“Bagaimanapun, Amirul meminta mangsa memasukkan wang terlebih dahulu untuk proses mendapatkan pinjaman itu sebelum mangsa memasukkan wang RM2,930 menerusi empat transaksi dalam talian ke akaun bank tempatan yang diberikan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, selepas pembayaran dilakukan, individu berkenaan masih meminta mangsa memasukkan wang RM1,800 lagi dengan memberikan alasan untuk menyiapkan surat perjanjian dan sebagainya.

“Mangsa mula curiga dengan individu berkenaan dan membuat semakan berhubung agensi berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa gagal menghubungi Amirul dan mendapati dia menjadi mangsa sindiket penipuan pinjaman tidak wujud.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Paka untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenainya semalam dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 4:07pm
d