mutakhir

Padah miliki senapang angin

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

LELAKI ditahan polis kerana memiliki senapang angin buatan sendiri bersama 149 biji bola dipercayai peluru di sebuah rumah di Kampung Teluk Pasu, Manir, Kuala Terengganu malam tadi.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan 10.20 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu yang melakukan serbuan di rumah berkenaan selepas menerima maklumat.

Sumber berkata, pemeriksaan di belakang rumah menemui selaras senapang angin buatan sendiri, dua batang ‘barrel’ senapang, 149 biji bola buatan sendiri dipercayai peluru, dua botol gas dan tiga botol dipercayai sebahagian komponen senapang.

“Pemeriksaan turut menemui empat paket plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah,” katanya.

Sumber berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati lelaki itu positif methamphetamine.

“Suspek turut memiliki beberapa rekod lampau dan pernah ditangkap beberapa kali sebelum ini kerana kes dadah,” katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

“Lelaki itu ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 5:25pm
d