mutakhir

'Kita rugi jual air dengan Singapura'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KERAJAAN berharap dapat menyegerakan pertemuan dengan Singapura bagi membincangkan isu menaikkan kadar air mentah yang dijual kepada republik itu, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Johor menjual air mentah kepada Singapura pada kadar tiga sen bagi seribu galen sejak 1926 apabila perjanjian penjualan air mentah dengan republik itu dibuat.

Katanya, Johor sudah terlalu bermurah hati dengan Singapura sehingga mengalami kerugian yang boleh mencecah trilion ringgit.

“Kita harap dapat naikkan kadar jualan air mentah. Johor jual kepada Melaka pun 50 sen. Johor ini negeri yang terlalu murah hati.

“Sekarang ini, kita tak dapat bincang mengenai perkara ini (naikkan kadar air) sebab kita tak dapat tentukan tarikh perbincangan dengan Singapura.

“Setiap sehari kita tidak bincang, kita tidak naikkan kos, kita rugi ‘million’ (juta) ringgit, malah boleh meningkat ke trilion ringgit.

“Harap Singapura lebih terbuka dan tetapkan tarikh perbincangan secepat mungkin,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIL), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan Lim Guan Eng; Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamad Azmin Ali; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Pada masa sama, Dr Mahathir menyelar tindakan Singapura menolak cadangan pembinaan jambatan baharu di Tambak Johor yang dicadangkan Malaysia, sedangkan negara ini bermurah hati dengan mereka dalam isu air.

“Kita korbankan duit kita untuk Singapura dapat beli air yang lebih murah untuk mereka, tetapi bila kita nak bina jambatan baharu untuk selesaikan masalah kesesakan, mereka tolak,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 7:15pm
d