mutakhir

Penyakit jantung carta teratas kematian

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

PENYAKIT jantung atau lebih khusus, penyakit kardiovaskular merangkumi serangan jantung dan strok adalah penyebab utama kematian di negara ini sejak lima tahun lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akui gaya hidup tidak sihat menyumbang kepada punca kematian berkenaan termasuk amalan merokok.

“Saya tidak menolak kemungkinan merokok adalah salah satu penyumbang kepada penyakit kardiovaskular.

“Malah perokok juga lebih berisiko dua atau tiga kali ganda untuk mendapat penyakit kardiovaskular berbanding bukan perokok.

“Justeru, kita galakkan orang ramai supaya membuat saringan awal khususnya menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) sebagai langkah pencegahan selain memudahkan rawatan awal diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo SNOMED CT anjuran SNOMED International di Kuala Lumpur hari ini.

Jabatan Perangkaan semalam mendedahkan penyakit jantung iskemik kekal sebab kematian utama di Malaysia dengan 18,267 kematian atau 15.6 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada 2018.

Berdasarkan laporan Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia 2019 yang dikeluarkan itu, kematian disebabkan penyakit jantung iskemik meningkat 35.3 peratus berbanding 13,503 kematian pada 2017.

Empat penyakit utama lain yang turut menyumbang kepada kematian di Malaysia tahun lalu adalah pneumonia, penyakit serebrovaskular, kemalangan kenderaan dan penyakit kronik.

Terdahulu, Dr Dzulkefly turut melawat pameran kesihatan digital oleh wakil antarabangsa dan tempatan.

Ekspo SNOMED CT adalah acara tahunan menggabungkan mesyuarat dan ekspo yang mana tahun ini Malaysia terpilih sebagai tuan rumah.

Program anjuran bersama Kementerian Kesihatan itu berlangsung mulai Ahad lalu sehingga esok yang dihadiri 300 wakil tempatan dan antarabangsa.

SNOMED CT adalah standard terminologi kesihatan yang dikawal selia oleh SNOMED International iaitu organisasi antarabangsa yang bukan bersifat keuntungan.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 10:04pm
d