mutakhir

Hanya 30 peratus bayar saman trafik [METROTV]

Oleh Fairuz Zaidan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan hanya 30 peratus daripada 119,490 saman trafik dikeluarkan di Melaka mulai Januari hingga September lalu, sudah dibayar.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, jumlah saman dikeluarkan itu mencatatkan penurunan sebanyak 4,734 saman berbanding 124,224 saman dikeluarkan sepanjang tempoh tahun lalu.

“Penurunan pengeluaran jumlah saman ini tidak bermakna polis tidak mengambil tindakan undang-undang, sebaliknya kami percaya tahap kesedaran pengguna jalan raya semakin meningkat.

“Pada masa sama, polis menggesa pesalah trafik supaya membayar saman termasuk mengambil kesempatan terhadap tawaran diskaun saman ditawarkan pada masa tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan PDRM Kontinjen Melaka Oktober 2019 anjuran Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Beliau berkata, daripada pecahan saman dikeluarkan, pemandu kereta adalah pesalah trafik tertinggi disaman disusuli penunggang motosikal, pemandu kenderaan pacuan empat roda (4x4), pemandu lori dan van.

Dalam pada itu, Sharul Lalli berkata, sebanyak 14,602 kes kemalangan jalan raya dicatatkan di negeri ini dari Januari hingga September lalu iaitu meningkat 246 kes berbanding 14,356 kes pada 2018.

Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan, sebanyak 181 kematian dicatatkan akibat kemalangan jalan raya, meningkat berbanding 170 kematian yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

“Daripada 181 kematian direkodkan sepanjang tahun ini, 120 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, pemandu atau penumpang kereta pula mencatatkan 39 kematian, manakala lain-lain kematian membabitkan pejalan kaki dan penunggang basikal.

“Lokasi hot spot kemalangan jalan raya khususnya yang membabitkan kematian adalah di jalan persekutuan dan jalan negeri termasuk di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dan Durian Tunggal,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 10:09pm
d