mutakhir

30% sahaja bayar saman

Oleh Fairuz Zaidan

HANYA 30 peratus daripada 119,490 saman yang dikeluarkan di negeri ini mulai Januari hingga September lalu dibayar pesalah trafik.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, jumlah saman yang dikeluarkan itu mencatatkan penurunan sebanyak 4,734 berbanding 124,224 saman yang dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh sama tahun lalu.

“Penurunan itu tidak bermakna polis tidak mengambil tindakan undang-undang, sebaliknya kita percaya tahap kesedaran pengguna jalan raya semakin meningkat.

“Pada masa sama, polis menyeru pesalah trafik supaya membayar saman termasuk mengambil kesempatan terhadap tawaran diskaun saman yang ditawarkan pada masa-masa tertentu,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka Oktober 2019 anjuran Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, semalam.

Beliau berkata, daripada pecahan saman dikeluarkan, pemandu kereta adalah pesalah trafik paling tinggi melakukan kesalahan disusuli penunggang motosikal, pemandu kenderaan pacuan empat roda, pemandu lori dan van.

Sharul Lalli berkata, sebanyak 14,602 kes kemalangan jalan raya dicatatkan di negeri ini dari Januari hingga September lalu, meningkat 246 kes berbanding 14,356 kes pada 2018.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, 181 kematian dicatatkan akibat kemalangan jalan raya, meningkat berbanding 170 kematian pada tahun sebelumnya.

“Daripada 181 kematian yang direkodkan sepanjang tahun ini, sebanyak 120 membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, pemandu atau penumpang kereta pula 39 kematian, manakala lain-lain kematian membabitkan pejalan kaki dan penunggang basikal.

“Lokasi panas kemalangan jalan raya membabitkan kematian adalah di jalan persekutuan dan jalan negeri termasuk di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dan di Durian Tunggal,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 5:45am
d