mutakhir

Simptom & gejala kanser kolorektal

KANSER kolorektal (CRC) adalah antara kanser yang lazim di Malaysia dan ia juga menjadi satu daripada penyebab utama kematian di negara kita, membabitkan lelaki dan wanita. Walaupun sesetengah CRC disebabkan faktor keturunan, tetapi kebanyakan kes berpunca daripada gaya hidup tidak sihat - tidak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan secukupnya, kurang bersenam, terlalu banyak makan daging merah selain tabiat merokok dan minum minuman beralkohol.

Seperti semua kanser, kanser kolorektal juga boleh dirawat sebaik mungkin jika dikesan awal. Sangat penting untuk kita belajar mengenali simptom CRC supaya kita boleh berjumpa doktor secepat mungkin - terutama apabila beberapa simptom mula muncul. CRC boleh dirawat jika didiagnos awal.

SIMPTOM DAN GEJALA CRC

1. Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan

Jika anda tidak mencuba menurunkan berat badan dan anda dapati berat badan susut mendadak, lebih baik segera berjumpa doktor. Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan boleh menjadi simptom kanser kolorektal. Sel kanser menggunakan banyak sumber tenaga dalam badan kita. Apatah lagi sistem imun kita akan bertindak balas untuk melawan penyakit, yang menyebabkan berat badan menurun.

2. Kelesuan dan rasa lemah

Sama seperti penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan, kita mungkin berasa sentiasa lesu kerana badan melawan sel kanser yang mencerobohi sistem badan kita. Kelesuan juga mungkin disebabkan kehilangan darah secara dalaman yang disebabkan oleh penyakit. Kelesuan akibat kanser juga antara kesan sampingan paling lazim dalam kanser kolorektal. Kelesuan ini boleh datang secara tiba-tiba dan tidak hilang walaupun selepas berehat atau tidur.

3. Rasa sakit dan kejang yang berpanjangan

Kita semua pernah mengalami ketidakselesaan abdomen dari semasa ke semasa tetapi perut kejang, kembung atau sakit yang kerap, teruk dan berpanjangan mungkin menjadi tanda kanser kolorektal yang perlukan pemeriksaan doktor.

4. Perubahan tabiat buang air besar

Tabiat atau jadual buang air besar kita sebenarnya boleh mendedahkan banyak perkara mengenai kesihatan kita. Perubahan tabiat buang air besar yang berpanjangan sama ada dari segi kekerapan atau konsistensi (mengalami cirit birit atau sembelit) khususnya jika tidak mengalami sebarang tekanan atau perubahan tabiat (hamil, melancong atau perubahan pekerjaan) tidak sepatutnya dipandang ringan.

5. Kehadiran darah dalam najis

Kadang kala, tompok merah boleh muncul tetapi ada kala najis berwarna sangat gelap atau hitam yang menandakan darah sudah kering. Ada banyak punca yang menyebabkan kehadiran darah dalam najis seperti buasir atau dubur luka akibat najis keras. Dalam kes CRC, ia mungkin menandakan masalah dalam saluran pencernaan. Darah dalam najis mungkin tidak dapat dilihat dengan pandangan kasar dan hanya boleh dikesan melalui Kit Ujian Najis, juga dikenali sebagai Fecal Occult Blood Test (FOBT).

Secara umumnya kanser kolorektal boleh dirawat dan disembuhkan jika dikesan awal. Berikan perhatian kepada badan anda dan pantau cara badan anda berfungsi. Pengetahuan adalah kunci yang memperkasakan anda untuk mengambil tindakan pantas dengan berjumpa doktor secepat mungkin jika dirasakan anda berdepan risiko kanser.

SARINGAN KESIHATAN SISTEM PENGHADAMAN DAN KIT UJIAN NAJIS PERCUMA

Semua penyakit bermula daripada sistem penghadaman. Ada berita baik bagi yang mahu mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kesihatan sistem penghadaman mereka. Program Penghadaman Sihat VITAGEN (VHDP) di bawah inisiatif kesihatan sistem penghadaman jenama itu kini berganding tenaga dengan pakar kesihatan tempatan untuk membangunkan saringan kesihatan sistem penghadaman dalam talian yang boleh diakses oleh semua orang.

Anda juga boleh mendapatkan Kit Ujian Najis (FOBT) secara percuma. Ini adalah saringan awal untuk mengesan kehadiran darah dalam najis. Alat ujian makmal ini boleh digunakan untuk mengesan tanda awal kanser kolorektal. Rendahkan risiko anda untuk mendapat kanser kolorektal dan dapatkan lebih banyak maklumat mengenai kesihatan sistem penghadaman di http://vitagen.com.my/health-assessment/gut-health-assessment.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 9:00am
d