mutakhir

Memorabilia Kedah, JDT laku habis

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PENIAGA jersi di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, menganggap perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 membawa rezeki buat mereka kerana jersi habis terjual sehingga terpaksa menambah tempahan setiap hari.

Tinjauan Harian Metro mendapati jersi Hijau Kuning pasukan Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah banyak terjual dan tidak banyak saiz yang ada malah cenderahati juga laris.

Selain jersi barangan lain yang menjadi tumpuan ialah mafla, topi, tuala dan bendera Kedah.

Bagi peniaga kejayaan Kedah melayakkan ke pentas akhir sebanyak dua kali pada tahun ini memberi limpahan rezeki berganda buat mereka.

Malah seawal jam 8 pagi, ada yang menunggu mereka membuka gerai kerana tidak mahu jersi dengan warna kegemaran mereka itu habis.

Peniaga jersi, Junaidi Jamaludin, 41, berkata, dengan jualan sempena Piala Malaysia kali ini memberi rezeki kepadanya berbanding sebelum ini.

Katanya, ramai yang membeli jersi lebih awal sebaik Kedah melayakkan diri ke perlawanan akhir dan dia menjualnya dengan harga yang berpatutan.

“Setakat ni perniagaan kami laris sebab ramai yang beli pakaian baru walaupun dah ada...pun beli lagi..kira Alhamdulillah.

“Saya kena tambah stok yang ada dan Alhamdulillah mungkin habis lagi esok,” katanya ketika ditemui hari ini.

Peniaga lain, Zamzuri Ahmad, 40, berkata, dia akan menyambung jualan jersi Hijau Kuning di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Katanya, ramai penyokong yang berada di Lembah Klang mungkin mahu membeli jersi Hijau Kuning pada saat akhir.

“Saya menjual jersi bermula saiz kanak-kanak tiga tahun hinggalah saiz 5XL bagi dewasa dan jenis kain yang dijual lebih berkualiti.

“Saya dijangka bertolak ke sana hari ini untuk memulakan perniagaan di sana (Stadium Bukit Jalil) esok,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 11:13am
d