mutakhir

Restoran saji GRO

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 11 wanita pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam operasi di sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang, malam tadi.

Dalam serbuan 10.20 malam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang bekerja di premis berkenaan serta dua individu warga tempatan yang juga pengurus dan pekerja.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, 10 daripada GRO ditahan adalah warga China manakala seorang lagi dari Myanmar.

“Kami turut menahan seorang lelaki tempatan yang juga pengurus dan seorang wanita tempatan yang bekerja di premis berkenaan.

“Semua ditahan berusia lingkungan 20-an hingga 40-an,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, pemeriksaan mendapati restoran itu mempunyai lesen, namun tidak memiliki lesen beroperasi sebagai pusat hiburan.

“Restoran ini pernah diserbu dua kali sebelum ini sejak 2016 kerana didapati menjalankan kegiatan tidak bermoral.

“Malah, premis ini menawarkan kalungan bunga kepada pelanggan untuk diberikan kepada GRO dengan harga serendah RM10 hingga lebih RM1,000,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas peralatan dan barangan digunakan untuk aktiviti hiburan di premis berkenaan.

“Antara peralatan dan barangan dirampas adalah monitor, pembesar suara, lampu pentas, mikrofon, kalung bunga, selempang, jubah dan mahkota.

“Kami turut merampas wang tunai RM1,204 dipercayai hasil diperolehi daripada kegiatan tidak bermoral berkenaan,” katanya.

Katanya, semua individu ditahan dan barangan dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (1)(c) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1995,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 12:24pm
d