mutakhir

'Jho Low di UAE? Mengarut!'

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

DAKWAAN yang mengatakan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, 38, kini menetap di Emeriah Arab Bersatu (UAE) disifatkan sebagai satu pembohongan dan dongeng.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, adalah tidak logik seseorang yang diburu boleh keluar dari tempat persembunyiannya dan pergi ke negara lain.

Katanya, dakwaan itu seolah-olah menggambarkan UAE tidak mempunyai kawalan keselamatan yang ketat sehingga penjenayah dalam buruan boleh bolos begitu sahaja.

“Kami sentiasa bekerjasama dengan polis UAE, justeru dakwaan itu adalah mustahil. Saya tahu dia masih ada di sana (tempat persembunyian) tetapi ada pihak yang melindunginya secara rasmi.

“Saya tidak akan berhenti memburunya, jika dia (Jho Low) rasakan dia bukan penjenayah dan dianiayai, baliklah...saya akan pastikan dia akan diberi layanan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontinjen Pahang, di Jerantut, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar dan Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Yusri Hassan Basri.

Menurut laporan portal berita semalam, Jho Low dipercayai menetap di UAE walaupun memperoleh suaka daripada negara lain.

Jho Low dilaporkan mendapat suaka berkenaan atas alasan berdepan ‘pendakwaan politik’ dan atas sebab hak asasi manusia.

Malah jurucakap Jho Low mengesahkan ahli perniagaan itu kini berada di UAE dan bergerak antara Timur Tengah dan Eropah sejak Jun lalu.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hamid berkata, beliau masih lagi berunding dengan pelbagai pihak bagi membawa pulang ahli perniagaan yang terbabit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

“Kita mengadakan rundingan secara ‘police to police’, sebelum ini kita dapat maklumat dia bebas di Hong Kong, Macau dan China malah mempunyai aset di banyak negara.

“Kita berusaha untuk membawanya pulang ke negara ini sebelum hujung tahun ini, sekiranya gagal, saya akan mengaku yang saya gagal dan memberikan apa sebabnya,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 2:00pm
d