mutakhir

Tiga sindiket dadah tumpas dalam 48 jam [METROTV]

Oleh Nur Lela Zulkipli

POLIS Selangor berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dengan anggaran rampasan bernilai RM2.1 juta dalam tempoh 48 jam.

Ketuanya Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kejayaan itu dicatat pada 29 Oktober lalu menerusi dua serbuan di kawasan parkir di Seri Kembangan, dengan tiga lelaki ditahan ketika melakukan jual beli dadah.

“Serbuan pertama pada jam 1.30 tengah hari ketika suspek berusia 20 dan 28 tahun dipercayai sedang menjalankan urusan jual beli dadah jenis Methamphetamine, bentuk ketulan dan serbuk seberat 32.8 kilogram (kg) bernilai RM1.64 juta.

“Pemerhatian polis, seorang suspek berperanan sebagai ‘transporter’ sementara seorang lagi dipercayai datang untuk mengambil dadah berkenaan sebelum dijual ke pasaran tempatan.

“Kedua-dua suspek bertindak agresif ketika ditahan dan ujian air kencing mendapati mereka positif Methamphetamine,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di Shah Alam, hari ini.

Turut disita dua kereta jenis Volkswagen Passat dan Proton Wira bernilai RM105,000 sebagai bahan bukti kes.

Beliau berkata, selang dua jam selepas serbuan itu, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 29 tahun dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah jenis Eramin 5 di kawasan sama.

“Hasil pemeriksaan polis ke atas kenderaan suspek jenis Honda Insight Hybrid menemui 1,400 pil Eramin 5 seberat 401 gram bernilai RM28,000 yang diletakkan di dalam bonet belakang kereta.

“Suspek bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Selayang dan masih bujang. Tiada rekod jenayah, namun hasil ujian air kencing menunjukkan suspek positif Ketamine,” katanya.

Menurut Noor Azam, hasil soal siasat mendapati ketiga-tiga suspek tiada kaitan antara satu sama lain, namun pihaknya masih menyiasat sumber dadah berkenaan.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, katanya, polis turut berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 45 dan 47 tahun di salun rambut di Pandan Indah pada jam 3.30 petang semalam, dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah jenis Ecstasy.

“Hasil pemeriksaan fizikal terhadap seorang daripada suspek menemui 8,710 biji pil Ecstasy seberat tiga kilogram yang diletakkan di dalam beg plastik warna kuning bertulisan ‘Oloiya’.

“Nilai rampasan dadah berkenaan mencecah RM435,000 dan kereta jenis Toyota Vios anggaran RM30,000 serta wang tunai RM1,180 turut disita dan mereka akan direman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 hari ini,” katanya.

Beliau percaya semua suspek dalam tiga serbuan itu sudah menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak enam bulan lalu.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 4:10pm
d