mutakhir

Siasat segera kes enam kanak-kanak tak sekolah

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu akan menghantar pasukan Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) untuk menyiasat kes enam kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil kelahiran di Kampung Kelubi Putih, Jabi.

Pengarahnya Mohamad Nasir Kareem berkata, beliau sendiri akan turun padang bersama pegawainya untuk berjumpa keluarga kanak-kanak itu pada Ahad.

“Kita perlu lihat sendiri dokumen yang mereka ada untuk memudahkan proses mengumpulkan maklumat dan menghantar laporan ke Putrajaya.

“Proses menyiapkan laporan bergantung pada maklumat yang ada. Jika kita peroleh maklumat lengkap, proses mendapatkan dokumen pengenalan diri dapat dilakukan dengan lebih cepat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media melaporkan, wanita Thailand, Siti Aishah Aziz, 39, berdepan kesulitan untuk mendaftarkan kelahiran enam daripada tujuh anaknya apabila sijil nikahnya dengan lelaki tempatan hilang.

Hanya anak sulungnya sahaja mempunyai sijil lahir, manakala selebihnya berusia enam bulan hingga 16 tahun tiada sekali gus tidak dapat bersekolah.

Lebih menimbulkan kesulitan apabila suaminya, Abdul Aziz Yaacob, 57, meninggal dunia pada 1 Oktober lalu akibat penyakit angin ahmar dan sakit jantung.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, keluarga terbabit sudah disantuni dan menerima bantuan kebajikan secara berkala.

Katanya, bukan keluarga Siti Aisyah sahaja, sebaliknya terdapat beberapa kes lagi dengan sebahagiannya sudah diselesaikan.

“Saya akan bincangkan perkara ini dengan pihak berkuasa berkaitan. Soal sumbangan kebajikan secara berkala, ia boleh diuruskan oleh pejabat ADUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) namun ada perkara di luar bidang kuasa kita,” katanya.

Berita berkaitan

Semua anak tak ke sekolah

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 4:42pm
d