mutakhir

Geng 36 lumpuh [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SINDIKET pengedaran heroin yang dipercayai didalangi anggota kumpulan kongsi gelap 36 tumpas selepas polis menahan empat lelaki dan merampas dadah bernilai RM2.2 juta.

Penahanan mereka pada 29 Oktober lalu turut membongkar sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Metro, Puchong, Selangor yang dijadikan makmal dadah.

Lelaki berusia 25 tahun hingga 33 tahun itu turut memakai rantai emas yang mempunyai loket tertera angka 36 dipercayai merujuk kepada kumpulan kongsi gelap itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan dua lelaki di hadapan pusat beli belah di Jalan Kepong pada 2.10 petang 29 Oktober lalu.

Menurutnya, polis kemudian merampas dadah dipercayai heroin 906.52 gram.

“Siasatan lanjut membawa polis ke sebuah kondominium di Batu Caves, Selangor dan merampas heroin 1.3 kilogram (kg), 9,000 pil yaba, methamphetamine 630 gram dan 70 pil Erimin 5.

“Siasatan lanjut polis kemudian menahan seorang lelaki di dalam kereta di Jalan Metro Perdana, Kepong pada 7 malam dan pemeriksaan menemui heroin 1.36 kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Mazlan berkata, Toyota Vios bernilai RM30,000 turut dirampas bagi membantu siasatan.

“Polis kemudian menahan seorang lagi suspek pada 11 malam di tepi Jalan Metro Perdana Kepong yang seterusnya membongkar makmal dadah terbabit.

“Suspek membawa polis ke rumah teres dua tingkat itu yang disewa sebulan RM1,800 sejak Mac lalu yang menjadi tempat memproses heroin,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas methamphetamine 15.4 kg, ketamin 12.6 kg, heroin 3.7 kg dan bahan mentah untuk memproses heroin 2.1 kg.

“Peralatan dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah turut dirampas dan siasatan mendapati kawasan perumahan itu adalah taman baharu yang masih belum ramai diduduki.

“Ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah dan suspek kedua memiliki rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, mereka aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak lima bulan lalu dengan nilai rampasan keseluruhan termasuk sitaan RM2.7 juta.

“Suspek direman seminggu bermula 30 Oktober lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita juga mengesyaki mereka terbabit dalam kegiatan kongsi gelap disyaki kumpulan 36,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 5:17pm
d