mutakhir

'Bukan saya yang menipu'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

GURU Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) membuat laporan polis selepas mendakwa gambarnya digunakan sindiket yang melakukan penipuan sewa rumah sejak dua minggu lalu.

Wanita berkenaan, Azriha Shafii, 31, berkata, dia menyedari perkara itu Selasa lalu selepas melihat gambarnya tular di Facebook dan WhatsApp.

“Menerusi status itu, mangsa mencari saya kerana didakwa telah ditipu apabila memasukkan wang RM100 kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Dua lagi mangsa yang ditipu memaklumkan kerugian RM100 dan RM700 selepas berhubung dengan pihak menggunakan gambar saya yang dimuat naik di laman web jual beli terkenal.

“Mangsa memberitahu, scam menawarkan rumah sewa dan mereka mula berhubung dengan WhatsApp yang turut menggunakan gambar saya. Mangsa perlu membayar sejumlah deposit sebelum disedari ditipu apabila rumah yang ditawarkan tidak wujud,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, bagi mengelak gambarnya terus digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab, dia membuat laporan di Balai Polis Ketereh, Selasa lalu untuk tindakan lanjut.

Katanya, selepas diperiksa, dia mendapati pihak berkenaan menggunakan gambarnya dan memperdaya lebih daripada tiga mangsa.

“Harapannya supaya scam berkenaan dapat dikesan dan pelaku ditahan kerana ia bukan saja menggunakan gambar saya untuk tujuan menipu, bahkan turut menimbulkan persepsi negatif buruk orang ramai terhadap saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud Mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kes akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 6:24pm
d