mutakhir

RM6.38j cecair vape bernikotin dirampas

Oleh Hairulazim Mahmud

BAHAGIAN Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 35,439 item disyaki mengandungi nikotin bernilai RM6.38 juta dalam serbuan di seluruh negara. semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 28 premis diserbu selepas risikan dilakukan KKM sebagai penguatkuasaan terhadap penjualan nikotin tanpa lesen.

“Tindakan ini diambil rentetan penjualan nikotin tanpa lesen racun sah, yang didapati semakin berleluasa termasuk di platform e-dagang dan media sosial.

“Operasi bersepadu kali ini dilaksanakan hasil risikan pihak KKM ke atas aduan dan maklumat orang awam berkaitan penjualan rokok elektronik mengandungi cecair nikotin kepada orang ramai khususnya pelajar sekolah dan belia,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tindakan ke atas penjualan nikotin itu bukanlah aktiviti baru kerana sejak 2015, KKM sudah bertindak terhadap premis menjalankan perniagaan berkenaan.

Beliau berkata, namun mutakhir ini, aktiviti penjualan didapati semakin serius termasuk di platform e-dagang.

“Oleh itu, KKM meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia serta di laman media sosial.

“Penjual didapati menjual nikotin di platform itu dikenal pasti dan disenarai hitam.

“Sepanjang tahun ini, sebanyak 165 laman sesawang seperti blogspot dan media sosial dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube untuk tindakan sekatan,” katanya.

Beliau berkata, KKM menasihatkan penjual, pengedar, pengilang dan pengimport untuk menghentikan serta-merta sebarang aktiviti pengilangan, pengedaran serta penjualan cecair mengandungi nikotin.

Katanya, pihaknya akan meneruskan pemantauan serta menjalankan operasi secara berterusan dengan pelbagai pihak bagi memastikan penjualan cecair rokok elektronik bernikotin dapat dibanteras.

“Nikotin adalah racun Kumpulan C dan dikawal di bawah Akta Racun 1952 [Akta 366].

“Penjualan nikotin secara berleluasa tanpa lesen sah adalah satu kesalahan mengikut akta ini dan jika didapati bersalah boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta itu iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sediaan nikotin juga dikawal mengikut Akta Jualan Dadah 1952 [Akta 368] (Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984) apabila produk mengandungi nikotin (termasuklah cecair rokok elektronik) perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, orang ramai dan media boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan penjualan cecair rokok elektronik mengandungi nikotin kepada BPF atau melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau mana-mana cawangan BPF berdekatan.

Selain itu, katanya, laporan boleh dibuat di talian 03-78413200 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk berkenaan di pasaran.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 7:42pm
d