mutakhir

Kuat kuasa zon larangan merokok di pasar malam

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan sedia mempertimbangkan cadangan pelbagai pihak supaya menguatkuasakan zon larangan merokok di kawasan pasar malam tetapi sukar menguatkuasakannya dari segi undang-undang, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

“Ini disebabkan di kawasan (pasar malam) tidak ada ‘sempadan sah di sisi undang-undang’ berbanding di premis makanan, bangunan kerajaan atau di IPT (institusi pengajian tinggi) yang mempunyai ‘sempadan’ jelas.

“Sebagai contoh, apabila kita kuat kuasakan undang-undang (larangan merokok) di pasar malam tetapi mereka cabar kata ini bukan pasar malam, ini depan rumah mereka, jadi ada kesukaran untuk kita melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kongres Tahunan Saintifik Persatuan Onkologi Malaysia ke-31 di Ipoh hari ini.

Dr Lee berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan orang ramai yang meminta kerajaan mewartakan tempat larangan merokok di kawasan pasar malam.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mewartakan semua premis makanan sebagai tempat larangan merokok berkuat kuasa 1 Januari lalu dan tindakan undang-undang akan dikuatkuasakan serta merta pada 1 Januari tahun depan.

Individu yang didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata, pakar onkologi di negara ini masih belum mencukupi bagi menampung keperluan pesakit kanser untuk mendapat rawatan sewajarnya.

Beliau berkata, pada masa kini negara hanya mempunyai 115 pakar onkologi iaitu 42 orang berkhidmat di hospital kerajaan termasuk hospital universiti manakala 73 lagi bertugas di sektor swasta.

“Kita memerlukan lebih 200 pakar onkologi dan dalam hal ini memang kita menggalakkan doktor mempelajari kepakaran itu sama ada mereka boleh memulakan program di peringkat sarjana dalam bidang berkenaan di universiti tempatan atau boleh buat sub kepakaran dalam bidang onkologi,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 8:01pm
d