mutakhir

Bantuan RM2 juta untuk penternak ikan dan jeti

Oleh BERNAMA

KERAJAAN meluluskan bantuan RM2 juta untuk penternak ikan sangkar yang terjejas akibat taufan di Kampung Air Masin, Kukup, Pontian Ogos lalu serta bagi pemulihan jeti uzur di kawasan Tanjung Piai.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, RM1 juta digunakan untuk bantuan kepada 78 penternak ikan sangkar yang terjejas manakala RM1 juta lagi untuk pemulihan jeti nelayan uzur.

Katanya, bantuan itu adalah tanggungjawab kerajaan bagi membantu nelayan, bukannya sebagai cubaan 'membeli' undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

"Saya sudah sebut, saya anak Tanjung Piai, ada masa saya balik kampung.

"Sebagai Menteri Pertanian (dan Industri Asas Tani), apa yang mereka minta atau mahu bantuan, kami (kerajaan) akan tunaikan secepat mungkin," katanya ditemui selepas menghadiri program Makan Perpaduan "Makanan Menyatukan Kita" di Pontian hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, beliau sebelum ini sudah melakukan sekurang-kurangnya lapan program bantuan kepada nelayan di sekitar daerah Pontian termasuk melepaskan benih ketam, saraan hidup serta melawat ternakan kerang-kerangan di Tanjung Piai.

Katanya, beliau sudah tidak peduli terhadap suara sumbang yang mempertikaikan usahanya itu.

"Kerajaan prihatin...jadi kami beri bantuanlah, takkan nak tunggu lepas pilihan raya (untuk beri bantuan).

"Esok contohnya, kalau selepas penamaan calon, berlaku musibah, saya beri bantuan saya tidak perlu dengar cakap-cakap orang lain. Ini kerajaan yang bertanggungjawab," katanya.

Ogos lalu semua penternak terbabit kerugian kira-kira RM5 juta berikutan ribuan ikan ternakan mereka mati akibat pencemaran air tawar susulan taufan Lekima.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kerajaan sedang menggalakkan sektor agrokulinari dengan memfokuskan pembangunan menu hidangan Malaysia yang menggunakan bahan mentah tempatan untuk distandardkan dari segi rasa dan persembahan.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan turut memberi galakan kepada agropreneur muda yang berminat menceburi sektor itu.

"Masakan akan kami promosi...kalau Thailand boleh promosi tomyam mereka, kenapa tidak kita promosikan asam pedas, mee kari dan mee bandung.

"Ini agrokulinari yang kami sedang bina. Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) tahun lalu, satu seksyen kami bangunkan (agrokulinari)," katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 9:26pm
d