mutakhir

HM diiktiraf Anugerah Akhbar Terbaik MARDI 2019

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

HARIAN Metro (HM) menerima Anugerah Akhbar Terbaik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) 2019.

Anugerah khas itu diterima sempena sambutan 50 tahun institut penyelidikan itu hari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman menyampaikan anugerah itu kepada Pengarang Eksekutif (Rencana) Harian Metro Mohd Radzi Wahab.

HM dipilih menerima anugerah berkenaan kerana sokongan padu dalam menyiarkan pelbagai artikel kejayaan MARDI dalam pelbagai bidang penyelidikan dan inovasi pertanian negara.

Mohd Khairul Adib berkata, kejayaan dicapai MARDI sepanjang 50 tahun penubuhannya memberi impak positif dalam industri pertanian dan bekalan makanan negara.

Menurutnya, kejayaan yang dicapai itu perlu diteruskan untuk memastikan MARDI kekal kukuh bersaing di peringkat domestik dan global.

“Sepanjang 50 tahun, MARDI sudah mencapai pelbagai kejayaan dalam mencipta teknologi penyelidikan dan inovasi pertanian negara.

“Kejayaan ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan industri pertanian terus maju seterusnya membangunkan industri makanan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan 50 Tahun MARDI di Dewan Tan Sri Yusof Hashim, Serdang hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah (MARDI), Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor dan Pengarang Rencana HM, Hartini Mohd Nawi.

Sempena Sambutan 50 Tahun MARDI pelbagai program dianjurkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang antaranya pameran teknologi 50 tahun MARDI, pertandingan memasak, jualan anak benih dan produk pertanian bermula 31 Oktober hingga Sabtu ini.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 10:43pm
d