mutakhir

190 polis positif dadah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Seramai 190 pegawai dan anggota polis ditahan di seluruh negara selepas didapati positif dadah menerusi Op Blue Devil sejak 13 Ogos lalu hingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, operasi itu dijalankan bagi membersihkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada masalah dadah.

Menurutnya, seramai 161 daripada mereka didapati positif methamphetamine, amphetamine (12), morfin (7), tetrahydoconnabinol (THC) (2) dan ketamin (8).

“Operasi ini akan terus dijalankan untuk membersihkan imej PDRM daripada dadah, malah kita juga sudah mulakan pendidikan di pusat latihan polis untuk memberi pendedahan kepada pelatih masalah dihadapi jika terbabit dalam gejala itu.

“Apabila mereka terbabit dengan kelab malam, arak, perempuan, judi dan dadah akan wujud elemen negatif dan perlu duit yang lebih hingga akhirnya terjadi rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, anggota dan pegawai polis yang berkunjung ke premis hiburan menjadi punca permulaan untuk terbabit dalam kegiatan penagihan dadah.

Menurutnya, terpengaruh dalam pergaulan dengan orang awam menyebabkan segelintir mereka terjebak dengan dadah, sekali gus menjejas imej pasukan itu.

Katanya, mereka yang ketagih dadah juga menyebabkan prestasi kerja terjejas hingga memerlukan perbelanjaan tinggi bagi membeli bekalan dadah.

“Apabila ini terjadi maka mula berlaku peras ugut dan mengambil rasuah untuk menampung keperluan menyara hidup dan membeli dadah.

“Sebab itu, saya menghidupkan semula arahan yang pernah dikeluarkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan iaitu larangan pegawai dan anggota polis berkunjung ke pusat hiburan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 6:30am
d